Monday 15 July 2013

Bulan penuh KEBERKATAN


KEWAJIPAN BERPUASA
Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 183 dan 185 yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana yang diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.
Sesungguhnya bulan Ramadhan bulan yang setiap tahun dinantikan ketibaannya oleh setiap umat Islam, memandangkan ia bulan yang mulia dan memberikan terlalu banyak manfaat, faedah, fadhilat dan masa depan yang cerah bagi mereka yang menghayatinya.

FADHILAT DAN KEUTAMAAN RAMADHAN
Terdapat puluhan hadis Rasulullah s.a.w. yang menjelaskan tentang fadhilat dan keutamaan bulan Ramadhan, bukan sahaja untuk manfaat umat Islam di akhirat kelak bahkan faedah di dunia ini.

Walau bagaimanapun faedah dan manfaat itu hanya diberikan kepada umat Islam yang taat menjunjung segala perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Mereka yang ingkar, tidak berpuasa, tidak mengerjakan solat dan lain-lain perintah Allah, tidaklah berhak mendapatnya.
Di bawah ini diringkaskan beberapa maksud hadis Rasulullah s.a.w mengenai fadhilat, kelebihan, keutamaan dan kemuliaan bulan Ramadhan serta amal ibadah yang sewajarnya dilakukan.
~ Pintu langit dibuka~
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
Apabila masuk bulan Ramadhan maka dibukakanlah pintu-pintu langit dan ditutupkan pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
~Pintu-pintu syurga dibuka~
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
Pada malam pertama bulan Ramadhan diikatlah semua syaitan dan jin dan ditutuplah semua pintu-pintu neraka dan tidak dibuka satu pintu pun darinya. Dan dibukakanlah pintu-pintu syurga dan tidaklah ditutup satu pun darinya. Maka berserulah penyeru; Wahai orang yang melakukan kebaikan hampirlah kamu, wahai orang yang melakukankejahatan undurlah kamu. Dan sesungguhnya Allah mempunyai ahli neraka yang dibebaskan dan sedemikian itu berlaku pada setiap malam Ramadhan.
(Riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.)
~ Amal ibadah bulan Ramadhan~
Dalam khutbah terakhir bulan Syaaban untuk persediaan menghadapi bulan Ramadhan, Rasulullah s.a.w. telah memberi nasihat kepada umat Islam supaya menyempurnakan berbagai amal ibadah sepanjang bulan Ramadhan: 
1. Solat sunat tarawih.
2. Solat-solat sunat yang lain.
3. Bantu membantu sesama umat Islam seperti bersedekah dan seumpamanya
4. Memberikan hidangan berbuka puasa.
5. Banyakkan membaca tahlil (syahadah, berzikir, bertasbih dan seumpamanya).
~ Ganjaran pahala ibadah dan fadhilatnya ~
Ganjaran pahala mereka yang mengerjakan amal ibadah dalam bulan Ramadhan adalah berlipat-ganda. Ibadah fardhu diberi pahala sehingga tujuh puluh kali ganda; manakala ibadah sunat diberi pahala seperti ibadah fardhu. Pada keseluruhannya, bulan Ramadhan ini terbahagi kepada tiga bahagian:
1. Untuk mendapat rahmat Allah s.w.t yang mencurah-curah.
2. Untuk mendapat keampunan Allah s.w.t.
3. Untuk mendapat pelepasan dari azab neraka.


1 comments: