Suatu masa dahulu,
terdapat sebatang pokok epal yang amat besar. Seorang kanak-kanak lelaki begitu
gemar bermain-main di sekitar pokok epal ini setiap hari. Dia memanjat pokok
tersebut, memetik serta memakan epal sepuas-puas hatinya, dan adakalanya dia berehat
lalu terlelap di perdu pokok epal tersebut. Budak lelaki tersebut begitu
menyayangi tempat permainannya. Pokok epal itu juga menyukai budak tersebut.
Masa berlalu... budak
lelaki itu sudah besar dan menjadi seorang remaja. Dia tidak lagi menghabiskan
masanya setiap hari bermain di sekitar pokok epal tersebut. Namun begitu, suatu
hari dia datang kepada pokok epal tersebut dengan wajah yang sedih.
"Marilah
bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu.
"Aku bukan lagi
kanak-kanak, aku tidak lagi gemar bermain dengan engkau," jawab budak
remaja itu.
"Aku mahukan
permainan. Aku perlukan wang untuk membelinya," tambah budak remaja itu
dengan nada yang sedih.
Lalu pokok epal itu
berkata, "Kalau begitu, petiklah epal-epal yang ada padaku. Jualkannya
untuk mendapatkan wang. Dengan itu, kau dapat membeli permainan yang kau
inginkan."
Budak remaja itu
dengan gembiranya memetik semua epal di pokok itu dan pergi dari situ. Dia
tidak kembali lagi selepas itu. Pokok epal itu merasa sedih.
Masa berlalu...
Suatu hari, budak
remaja itu kembali. Dia semakin dewasa. Pokok epal itu merasa gembira.
"Marilah
bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu.
"Aku tiada masa
untuk bermain. Aku terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang. Aku ingin membina rumah
sebagai tempat perlindungan untuk keluargaku. Bolehkah kau menolongku?"
Tanya budak itu.
"Maafkan aku.
Aku tidak mempunyai rumah. Tetapi kau boleh memotong dahan-dahanku yang besar
ini dan kau buatlah rumah daripadanya." Pokok epal itu memberikan cadangan.
Lalu, budak yang
semakin dewasa itu memotong kesemua dahan pokok epal itu dan pergi dengan
gembiranya. Pokok epal itu pun tumpang gembira tetapi kemudiannya merasa sedih
kerana budak itu tidak kembali lagi selepas itu.
Suatu hari yang
panas, seorang lelaki datang menemui pokok epal itu. Dia sebenarnya adalah
budak lelaki yang pernah bermain-main dengan pokok epal itu. Dia telah matang
dan dewasa.
"Marilah
bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu.
"Maafkan aku,
tetapi aku bukan lagi budak lelaki yang suka bermain-main di sekitarmu. Aku
sudah dewasa. Aku mempunyai cita-cita untuk belayar. Malangnya, aku tidak
mempunyai bot. Bolehkah kau menolongku?" tanya lelaki itu.
"Aku tidak
mempunyai bot untuk diberikan kepada kau. Tetapi kau boleh memotong batang
pokok ini untuk dijadikan bot. Kau akan dapat belayar dengan gembira,"
cadang pokok epal itu.
Lelaki itu merasa
amat gembira dan menebang batang pokok epal itu. Dia kemudiannya pergi dari
situ dengan gembiranya dan tidak kembali lagi selepas itu.
Namun begitu, pada
suatu hari, seorang lelaki yang semakin dimamah usia, datang menuju pokok epal
itu. Dia adalah budak lelaki yang pernah bermain di sekitar pokok epal itu.
"Maafkan aku.
Aku tidak ada apa-apa lagi nak diberikan kepada kau. Aku sudah memberikan
buahku untuk kau jual, dahanku untuk kau buat rumah, batangku untuk kau buat
bot. Aku hanya ada tunggul dengan akar yang hampir mati..." kata pokok
epal itu dengan nada pilu.
"Aku tidak mahu
epalmu kerana aku sudah tiada bergigi untuk memakannya, aku tidak mahu dahanmu
kerana aku sudah tua untuk memotongnya, aku tidak mahu batang pokokmu kerana
aku tidak berupaya untuk belayar lagi, aku merasa penat dan ingin
berehat," jawab lelaki tua itu.
"Jika begitu,
berehatlah di perduku," cadang pokok epal itu.
Lalu lelaki tua itu
duduk berehat di perdu pokok epal itu dan berehat. Mereka berdua menangis
kegembiraan.
POKOK EPAL YANG
DIMAKSUDKAN DI DALAM CERITA ITU ADALAH KEDUA-DUA IBU BAPA KITA. BILA KITA MASIH
MUDA, KITA SUKA BERMAIN DENGAN MEREKA. KETIKA KITA MENINGKAT REMAJA DAN DEWASA,
KITA PERLUKAN BANTUAN MEREKA UNTUK MENERUSKAN HIDUP. KITA TINGGALKAN MEREKA,
DAN HANYA KEMBALI MEMINTA PERTOLONGAN APABILA KITA DI DALAM KESUSAHAN. NAMUN
BEGITU, MEREKA TETAP MENOLONG KITA DAN MELAKUKAN APA SAHAJA ASALKAN KITA
BAHAGIA DAN GEMBIRA
DALAM HIDUP.
0 comments:
Post a Comment